Followers

Tuesday 11 October 2011

PENULIS ISLAM CONTOH

(dipetik dari buku Suri Tauladan Di Sepanjang Jalan Dakwah, oleh al-ustaz Mustafa Masyhur)
1. -Bijak dalam memilih tajuk yang sesuai untuk tujuan berdakwah, menghuraikan tajuk itu dengan gaya bahasa yang baik dan jelas yang maknanya sampai ke hati dan akal manusia dan boleh memberi kesan yang dikehendaki.
2. -Berpegang dengan kefahaman Islam yang betul dan jauh dari penyelewengan dan salah faham. Perlu sentiasa menyedari, berapa banyak dosa akan ditanggung jika pembaca-pembaca terpengaruh dengan fahaman yang salah.
3. -Penulis Muslim yang berbakat dan berpeluang menglibatkan diri dalam bidang sebaran am, mestilah memanfaatkan sepenuhnya kebolehan yang dianugerahkan kepadanya untuk tujuan menyebarkan kebenaran kepada khalayak umum.
4. -Cerpenis dan novelis Muslim hendaklah mengemukakan pendapatnya dan penyelesaian kepada masalah masyarakat semasa bagi semua peringkat, dari kanak-kanak, pemuda dam pemudi, orang dewasa lelaki dan perempuan dengan cerita yang mempunyai tarikan dan ada kesannya.
5. -Bagi yang berkebolehan dalam penciptaan puisi dan syair juga nasyid, sebolehnya memberi sumbangan dengan mencipta nasyid-nasyid dan puisi yang menimbulkan semangat berjuang di kalangan pemuda dan remaja juga seawal usia kanak-kanak lagi kerana sudut ini begitu halus dalam mempengaruhi jiwa manusia.

Tips Untuk Memulakan Usaha Menulis
1. -Banyakkan membaca apa saja bahan atau karya yang baik dan membina. Buku, akhbar, majalah maupun novel. Ini akan membentuk idea dalam minda kita tentang bagaimana kita harus memulakan gaya penulisan.
2. -Sentiasa berfikiran positif dan terbuka dan sentiasa sedia menerima cadangan maupun pandangan dan teguran. Dengan meneroka pandangan orang lain, kita akan mudah meramalkan bentuk penulisan yang diminati dan digemari pembaca.
3. -Rajin meneliti telatah kehidupan insan dan gemar menganalisa alam yang terbentang dan semua ini dapat meransang ilham.
4. -Seperti juga bertutur, menulis akan menjadi jika kita dapat menguasai bahasa dengan baik. Cuba sedapatnya ikuti perkembangan bahasa dengan membaca dan meneliti majalah-majalah terbitan DBP seperti Dewan Bahasa, DewanSastera, Dewan Siswa, Tunas Cipta dan Pelita Bahasa.
5. -Tentukan kumpulan sasar yang ingin kita sampaikan bahan karya kita bersesuaian dengan kemampuan dan gaya olahan kita.
6. -Bijak menguruskan masa; urus waktu tidur supaya tidak berlebihan. Bangun awal dan terus menulis dalam waktu yang tenang. Menulis berterusan setiap hari dan dijadualkan dengan menganggap menulis satu tanggungjawab, bukannya hobi. Elakkan membuang masa dengan banyak bersosial dan omongan kosong.
7. -Sediakan secukupnya buku rujukan mengikut bidang tumpuan kita berkarya. Sediakan tempat selesa dan sesuai untuk menulis, menulis, dan menulis...
8. -Bagi memastikan kegigihan kita berterusan, mesti bina semangat yang mantap dalam jiwa dengan sentiasa bermunajat.
9. -Tingkatkan kemahiran dan ilmu penulisan dengan meluangkan masa mengikuti kursus-kursus penulisan. Perlu diingat, tidak ada yang disebut ‘born writer’ tanpa ilmu dan latihan. -ummu anas (*pemuda-pemudi harapan, berjuanglah melalui penulisan, agar jiwa dan pribadi ummat terbentuk luhur dan cekal...)




Tuesday 9 August 2011

Majalah HALUAN Edisi 4 (Terkini)

Salam ukhwah kepada semua pengunjung blog Majalah HALUAN. Pihak kami mengucapkan terima kasih atas kesudian saudara mahupun saudari yang sudi singgah sebentar. Mudah-mudahan, blog kami ini bermanfaat pada anda semua.

Disini, pihak kami ingin mempromosikan keluaran majalah HALUAN EDISI 4 yang terkini. Berikut merupakan gambar muka hadapan majalah :


Pihak kami juga sangat mengharapkan sebarang komen mahupun pandangan berkenaan dengan cover majalah HALUAN EDISI 4 ini. 

Monday 18 July 2011

CIRI-CIRI PENULIS BERJAYA


oleh: Ummu Anas

Salam sejahtera semua pengunjung blog Majalah Haluan,
Berikut ingin saya kongsikan sebuah artikel yg saya sedut dari blog sastera yg sedang saya uruskan; semoga bermanfaat kpd semua diri yang berminat untuk menyumbang amal dalam penulisan...


Semua pengunjung budiman!

Saya tertunduk malu dengan mata terkedip-kedip bila menatap tajuk di atas; CIRI-CIRI PENULIS BERJAYA.



Pada hakikatnya, hal itu belum wujud dalam diri saya, hanya sebagai impian yang seindah mimpi... Oh! Bilakah akan dapat saya capai dan garap? Pernah saya tanyakan seorang teman penulis yang dalam masa yang sama tenaga pengajar dalam bidang kewartawanan, kata-kata yang diajukan kepada saya benar-benar telah menggugah hati saya. demikian bunyinya:


"Seorang penulis persuasif yang berjaya sentiasa memperkayakan dirinya dengan ilmu dan istilah-istilah baru. Dia tidak hanya berpuas hati dengan hanya pandai membina ayat, tetapi dia menghiasi ayat-ayat yang dibina dengan elemen-elemen daya penarik dan istilah yang boleh memerangkap jiwa dan emosi pembaca."


Aduh!...Terlongo saya mendengarnya dan terkedip-kedip lagi mata saya merenung matanya yang tampak serius dalam bicaranya itu.

Saya beranikan diri bertanya lagi...

Bagaimana cara sebaiknya membina diri dan keupayaan ke arah itu?

Jawapannya:

1. SUKA KEPADA BAHASA
Penulis yang berkesan mesti suka kepada bahasa. Ini bermakna suka kepada pengucapan atau ungkapan-ungkapan yang segar dan meyakinan. Menguasai pertuturan dan sentiasa bertutur dalam sususan bahasa yang betul.

2. SUKA MEMBACA
Penulis tidak boleh terpisah dari bahan bacaan, setiap detik diisikan dengan aktiviti membaca. Baca apa saja bahan bacaan terbaik yang mengukuhkan kecenderungan menulis yang sesuai dengan tabiat dan bentuk penulisan yang kita pilih.

Wah! Setelah mendengar katanya itu, saya bangun berdiri lalu mahu bergerak dan bertindak menepati apa yang sahabat saya sarankan itu..., tiba-tiba beliau menahan saya; ada lagi beberapa perkara yang perlu saya semak selalu dalam diri saya.

Apa dia perkara penting itu....?

* Menulis bererti berkomunikasi, iaitu menyampaikan mesej kepada khalayak sasar/pembaca. Tuliskan perkongsian maklumat dan ilmu bermanfaat, supaya khalayak pembaca terdidik menjadi baik.

* Penulis yang berjaya akan sentiasa berusaha mempertingkatkan kemampuan bahasanya dengan laras dan lenggok yang sesuai untuk pelbagai kumpulan sasar, kanak-kanak, remaja dan dewasa.




Wow! Saya rasa sungguh banyak yang mesti saya lakukan segera untuk melengkapkan diri ke arah impian saya; menjadi PENULIS YANG BERJAYA!

Saya pun bingkas bangun untuk segera bertindak..., sempat juga saya kerling senyum simpul sahabat saya itu seiring dengan kata-katanya mengakhir sesi pertemuan kami; Anda adalah diri anda, serlahkan keistimewaan bakat dan gaya tersendiri anda. Cungkil dan pupuk bakat berkenaan. Segeralah maju untuk menzahirkannya supaya manusia sejagat akan terdidik berwibawa!

Saya pun ketika itu, tidak lagi menoleh ke belakang..., terus maju laju... menggarap dan mengolah apa yang saya termampu. Kini di mana saya berada??? Sayu hati saya bila merenungi tajuk di atas; CIRI-CIRI PENULIS BERJAYA

Mari bantu saya,...dan seharusnya kita saling bantu-membantu demi kelangsungan bidang penulisan yang sangat berkesan mendidik insan lain kepada kebaikan.